Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mempertingkatkan lagi keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi perolehan 12 unit helikopter baharu, tiga kapal misi pesisir (LMS) dan 136 unit kenderaan perisai mobiliti tinggi.

Menteri Pertahana, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan itu dilakukan bagi meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan dalam memastikan ATM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman.

Beliau berkata, kelengkapan dan aset yang canggih serta mencukupi adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

“Ketumbukan pertahanan kita mesti diperkukuh dengan pelbagai teknologi moden dan terkini terutamanya dalam konteks yang menyaksikan ancaman dan risiko keselamatan kini hadir dalam pelbagai bentuk dan cara.

“Persediaan dan kesiagaan kita harus mengundang rasa gerun dan hormat di pihak kawan dan lawan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

ATM juga bakal memperoleh beberapa kelengkapan seperti Maritime Patrol AircraftUnmanned Aerial SystemFlight Lead In Trainer – Light Combat Aircraft Meriam 155mm Self Propelled Howitzer dan Trak Kembalik Ringan.

Pembekalan Fast Interceptor Craft, Suar dan Anti-sonar Decoy bagi kapal selam kelas Perdana Menteri untuk tentera laut dan Long Range Radar Complete With Ancillary Equipment di Bintulu, Sarawak untuk tentera udara.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, bagi tahun 2024, beliau akan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmatan kesihatan ATM.

Menurutnya, sebanyak empat poliklinik ATM bakal dibina iaitu di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu, Sungai Petani, Kedah dan Kuantan, Pahang.

“Perkhidmatan kesihatan ATM akan turut dimantapkan dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dengan Institut Integriti Malaysia.

Katanya objektif MoU tersebut ialah untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam program- program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam dan juga sektor korporat di Malaysia. – Bernama