Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Penjawat awam di Pahang diingatkan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan jentera kerajaan dapat bergerak dengan berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua penjawat awam perlu memberi penekanan kepada character building dalam melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi yang telah disusun oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Character building penting  melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan juga mengamalkan nilai-nilai murni serta mengutamakan aspek integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas.

”Kita juga perlulah berfikiran kreatif dan di luar kotak serta tidak berada pada status quo. Ini penting, kerana kita mahu Kerajaan Negeri Pahang terus menjadi sebuah kerajaan yang cekap serta berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian sahaja dan kita perlu berani berhadapan dan menangani perubahan persekitaran.

Penjawat awam dan agensi kerajaan tidak boleh lagi kekal dengan pendekatan yang lama, tetapi perlu menghasilkan idea-idea baharu, serta sentiasa cuba melaksanakan kerja dengan cara yang terkini, katanya.

”Kita perlu menjadi lebih proaktif dan berupaya meramalkan apa yang akan berlaku dan melakukan persediaan sewajarnya.

”Tidak wajar kita bersifat reaktif sahaja dan bertindak hanya apabila sesuatu masalah muncul,” jelasnya.

Di samping itu juga, katanya, penjawat awam hendaklah mempunyai daya ketahanan yang tinggi, anjal (flexible), tangkas dan berinovasi.

Tambahnya amalan tersebut akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette