LIPIS – Sepasang kekasih dicekup dalam tempoh tiga jam selepas menyamun seorang lelaki warga Bangladesh di Taman Perumahan Bandar Baru di Kuala Lipis, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, suspek yang mengetahui mangsa memegang tunai yang banyak pada setiap 8 hari bulan bagi menguruskan kewangan syarikat mensasarkan menyamun mangsa di hadapan rumahnya.
Tambah beliau, suspek berpura-pura menanyakan arah jalan kepada mangsa kira-kira pukul 11 malam sebelum menyamun mangsa yang merupakan seorang penyelia berusia 40 tahun.
”Suspek pertama lelaki bersama rakan sejenayah merupakan teman wanitanya adalah bekas pekerja mangsa telah membuat janji temu terlebih awal dengan mangsa untuk bertemu.
”Semasa kejadian keadaan sunyi tiada orang berada di luar rumah pada waktu tengah malam dan lelaki itu memulakan rancangan jahat.
”Mangsa maklumkan boleh camkan suspek di mana saspek berbadan tidak terlalu kurus, tinggi anggaran 170cm,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Azli, mangsa tercedera semasa suspek mengacukan pisau.
Tambah beliau, penyelia itu kemudian menghubungi majikannya dan memaklumkan telah diserang suspek.
Berikutan itu, majikan mangsa yang merupkan pengadu telah pergi ke rumah pekerjanya itu dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian tapak tangan kiri.
”Suspek berjaya melarikan beg berisi wang kedai milik majikannya berjumlah RM6,750, kunci kedai dan pasport Bangladesh milik mangsa namun berjaya diberkas polis pada jam 2.30 pagi,” katanya.
Azli berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis oleh majikannya untuk mendapatkan rawatan seterusnya membuat laporan polis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama seminggu hingga 15 Januari ini. – MalaysiaGazette