Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sebulan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menumpukan siasatan kepada semua maklumat yang telah dikumpul.

Setakat ini, siasatan polis mencecah 90 peratus meliputi elemen forensik, patologi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu dibuat susulan hasil siasatan forensik terkini yang dikategorikan berkesudahan secara negatif.

“Kita juga akan melakukan tangkapan ke atas suspek yang kita rasa bertepatan dengan lebih 50 peratus kebarangkalian berdasarkan keterangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelas Razarudin, pihaknya berdepan cabaran besar dalam kes itu kerana tidak menemukan petunjuk kepada motif pembunuhan mangsa yang merupakan kunci bagi meneruskan siasatan berikutnya.

“Selepas ini mungkin kita juga akan memanggil ibu bapa, orang terdekat dan saksi lain yang berada dalam lingkungan lokasi kes itu bagi membantu siasatan dan berharap ia dapat diselesaikan,” ujarnya.

Jasad kanak-kanak enam tahun yang dilaporkan hilang pada 5 Disember itu ditemui keesokannya di kawasan anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai jam 10 malam.

Hasil siasatan forensik Hospital Sungai Buloh mengesahkan Zayn maut akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette