Charles Santiago

SUBANG – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengadakan sidang media dalam masa satu atau dua minggu lagi bagi menjawab isu pelarasan tarif air yang menjadi bualan hangat dalam media sosial sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya Charles Anthony Santiago berkata, jemputan ke sidang media berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat.

“Isu itu (tarif air) ialah isu hangat sekarang dan SPAN akan membuat satu sidang media dalam masa terdekat. Jadi, tunggu dan tengoklah,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek baik pulih paip pembetungan di Jalan SS15/4 dan Jalan SS15/8 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelarasan tarif air yang dijangka bermula tahun ini berikutan permohonan beberapa negeri seperti Pulau Pinang untuk menaikkan tarif bagi pengguna domestik di negeri itu.

Selain itu, terdapat juga negeri yang tarifnya tidak disemak melebihi 25 tahun iaitu Pahang dan Perlis dengan semakan terakhir masing-masing ialah pada 1983 dan 1996.

SPAN ialah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan mengawal selia perkhidmatan bekalan serta perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia, Putrajaya dan Labuan.

Mengenai projek baik pulih paip pembetungan di Jalan SS15/4 dan Jalan SS15/8, SPAN katanya telah mendapat peruntukan sebanyak RM2.74 juta di bawah dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentungan (KWSMP) bagi menaik taraf dan penggantian paip pembetungan di sepanjang jalan berkenaan.

Ini juga termasuk kerja mengganti dan menaik taraf paip pembetungan awam sedia ada bersaiz 150 milimeter (mm)  kepada 225 mm selain mengganti 12 lurang kumbahan sedia ada.

Beliau berkata masalah itu disebabkan aliran paip pembetungan tersumbat dan tersekat serta kerosakan paip pembetungan awam sedia ada yang berusia melebihi 30 tahun. – BERNAMA