KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa dua individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 11 kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM119 juta.
Dua individu itu ialah Ang Jen Chuen (Dexter Ang), bekas pengarah Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest) dan Syaiful Riezal bin Ahmad (Syaiful Riezal), bekas Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Trustee Berhad (Infinity).
Mereka didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di bawah seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Dexter Ang dan Syaiful Riezal masing-masing menghadapi lapan dan tiga pertuduhan, menurut kenyataan SC.
Kesalahan pengubahan wang haram yang didakwa berlaku antara 1 Disember 2020 dan 9 Januari 2023 di Kuala Lumpur dan Selangor.
Individu tersebut mahu dibicarakan atas pertuduhan masing-masing.
Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus membenarkan jaminan RM8.01 juta dengan dua penjamin kepada Dexter Ang dan RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Syaiful Riezal.
Mereka juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.
Jika sabit kesalahan, individu ini boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta. , yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette