Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed ( kanan) bertanya khabar dan berbual dengan Mohd. Roshdi Ramli ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan Nor Hafiza Kamarudin di Ampang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengamal media yang kini menjadi kakitangan sambilan (stringer) atau bekerja sendiri disaran kembali mendaftar dan membuat mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menjamin kebajikan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, caruman yang perlu dibuat hanyalah RM23 setahun pada tahun ini selepas mendapat bantuan subsidi oleh kerajaan sebanyak 90 peratus.

“Bagi mereka yang telah keluar daripada syarikat media dan menjadi stringer dan freelance atau pun bekerja sendiri, mereka boleh mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Dan kita ada lagi satu skim yang baru diperkenalkan sejak tahun 2017 iaitu Akta Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang mana mungkin ramai tidak tahu atau ada yang sedia maklum namun agak sukar keluar duit untuk mencarum.

“Sebenarnya tidak banyak (caruman) kerana kerajaan membantu dengan memberi subsidi di mana mencarum sendiri pada tahun ini kerajaan akan tampung 90 peratus.

“Kalau lihat secara kasarnya dalam sekitar RM23 sahaja setahun dan lebih murah daripada harga sekotak rokok tetapi hendak bayar caruman Perkeso agak susah,” katanya kepada media, di sini.

Terdahulu, beliau melawat waris kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan terbabit yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, di Ampang, hari ini.

Siti Norhafiza layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM1,975 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali bayar daripada Perkeso.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, terdapat dua situasi yang mana ramai di antara mereka yang pernah kerja tidak tahu bahawa pernah mencarum.

Jelas beliau, sekiranya berlaku hilang upaya atau ilat, seseorang pekerja boleh memohon untuk memastikan mereka masih layak atau tidak mendapat faedah Perkeso.

“Ini kerana kita mengira jumlah kelayakan berdasarkan caruman dan kalau kata mereka telah berhenti kerja sama ada lima atau 10 tahun sebagai seorang pengamal media atau sebagai wartawan mungkin dia masih layak walaupun telah berhenti kerja,” katanya.

Sementara itu, SKSPS telah diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain, menjadikan 20 sektor kesemuanya di bawah perlindungan skim ini.

Individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.

Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

SKSP turut menyediakan faedah tunai kepada orang berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast