Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua dari kanan) mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan Nor Hafiza Kamarudin di Ampang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Waris kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM1,975 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali bayar daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakan rekod caruman mendapati ibu kepada dua cahaya mata itu pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002.

Beliau turut berharap penyaluran faedah itu berupaya membantu kelangsungan hidup keluarga Siti Nor Hafiza pada masa depan.

”Suami allahyarhamah, Mohd. Roshdi Ramli layak mendapat faedah PERKESO untuk sepanjang hayat manakala dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Berdasarkan rekod caruman PERKESO milik Siti Nor Hafiza mendapati keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya.

Dr. Mohammed Azman
Aziz Mohammed (dua dari kanan) mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan Nor Hafiza Kamarudin di Ampang, hari ini.

Beliau ketika demikian ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan terbabit yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet di Ampang hari ini.

Sumbangan faedah itu disampaikan kepada Mohd Roshdi, 41, sambil disaksikan dua anak arwah, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Fiza atau Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, menghembuskan nafas terakhir pada 28 Disember lalu selepas mengalami pendarahan dalam otak Hospital Charing Cross, London.

Pada Julai 2018, Fiza disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga namun keadaannya kembali pulih sebelum sel barah dilaporkan kembali merebak di dalam tubuhnya.

Jenazah yang tiba di Kuala Lumpur dari London pada Sabtu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak

Arwah sebelum ini pernah berkhidmat di akhbar Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan portal Astro Gempak.

Sementara itu, pemergian wartawan hiburan berkenaan turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menderma melalui tabung Bantulah Fiza..

Sumbangan oleh pihak artis, media dan orang ramai ini telahdisalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di mana sebanyak RM50,000 berjaya dikumpul bagi membiayai kos membawa pulang jenazah ke tanahair. – MalaysiaGazette

Dr. Mohammed Azman
Aziz Mohammed (kanan) mengucap takziah kepada Mohd. Roshdi Ramli mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan Nor Hafiza Kamarudin di Ampang, hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast