Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, Pekan hari ini.

PEKAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar pihak berwajib mempercepat pembinaan projek tebatan banjir yang telah dirangka bagi negeri itu.

Titah baginda, projek terbabit perlu dipandang serius pihak kerajaan dan ia perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Kita haraplah janganlah berpolitik dalam hal ini. Seelok-eloknya secara serius dan secara urgent untuk membina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1 di sini hari ini.

Baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar semua mangsa banjir yang berteduh di PPS agar sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelakkan sebarang penyakit.

“Saya bimbang selepas banjir habis, kita dapat penyakit pula. Macam-macam penyakit sekarang. Wabak Covid-19 pun masih lagi berada di negara kita.

“Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu ingatan saya tentang  kebersihan di PPS  ini khususnya keadaan bilik air.

“Jangan pandang ringan hal ini. Sebab ia boleh menjadi punca kalau kita tidak bersama-sama jaga dalam hal ini,” titah baginda lagi.

Selain mangsa banjir, baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Muhammad Adhwa Haslan, 31 yang maut selepas terjatuh air parit di Sungai Bebar Utara di sini kelmarin.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (kanan) berkenan menyampaikan Sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian kepada Waris mangsa lemas Muhammad Adhwa Haslan yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Bebar Utara kelmarin.

“Saya ucap takziah kepada kerluarga berkenaan. Kepada keluarga mangsa yang terkorban, pihak kerajaan persekutuan akan memberikan sumbangan sebanyak RM10,000.

“Selain itu, pihak kerajaan negeri pula akan beri sumbang sebanyak RM5,000. Dan saya sendiri pun akan beri kurnia,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut berkenaan menyantuni dan menyampaikan kurniaan kepada penghuni di tiga lagi PPS di sini iaitu PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 dan PPS Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast