Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam telah menahan seorang Penolong Pegawai Tadbir kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM6,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam telah menahan seorang Penolong Pegawai Tadbir kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM6,000.

Menurut sumber, suspek yang berusia sekitar 40-an ditahan pada kira-kira 2 petang tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam bagi dirakamkan keterangan.

“Siasatan awal mendapati bahawa suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya daripada sebuah syarikat pada 2021.

“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana suspek telah membocorkan maklumat sebut harga bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan serta penyelenggaraan landskap Mahkamah Syariah di Selangor yang bernilai lebIh RM130,000,” katanya sumber SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi proses permohonan reman.

Majistret Farah Rosnan membenarkan reman kepada suspek selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 Januari 2024. – MalaysiaGazette