KUANTAN- Sebanyak 5,000 restoran dan kedai makanan halal di Pahang dan dilihat potensi yang besar untuk terus menerajui pelancongan mesra muslim.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri ini sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan pengesahan halal bagi memastikan pematuhan dalam industri makanan dan minuman.
Ia bagi memberikan keyakinan kepada pelancong muslim tentang status halal makanan mereka.
“Pahang terkenal dengan kepelbagaian hidangan halalnya yang menyediakan pelbagai hidangan dari pelbagai budaya dan tradisi.
“Dengan memperkasakan kemudahan, meningkatkan infrastruktur pelancongan, meningkatkan promosi dan meningkatkan perkhidmatan serta produk pelancongan.
“Negeri Pahang dapat terus menarik minat pelancong Muslim dari seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Yu Man, keunikan budaya, warisan, sejarah, seni bina, keindahan alam semula jadi dan kemudahan pelancongan menjadikan negeri ini destinasi yang tidak dapat dilepaskan bagi pelancong muslim.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni sekumpulan 36 imam dari 14 wilayah Negara China yang sedang menyertai lawatan pengenalan pelancongan Mesra Muslim dengan tema ‘Imam Fam Trip: Discover Muslim-Friendly Malaysia’.
Program yang bermula sejak 10 hingga 16 Januari ini sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan Malaysia khususnya dalam kalangan muslim dari negara ini.
Mengulas lanjut, lawatan tersebut turut melibatkan destinasi pelancongan di Pahang iaitu di Daerah Bentong.
“Komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan Pahang sebagai hab terkemuka bagi pelancongan mesra muslim dapat diterjemahkan melalui penawaran kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan muslim,” ujarnya.
Pelancongan muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah dua bilion di seluruh dunia.
Nilai pasaran pelancongan muslim di seluruh dunia mencapai kira-kira USD 194 bilion dan akan terus berkembang dan mencapai USD 300 bilion pada tahun 2026.
Pahang menawarkan destinasi pelancongan mesra muslim antara terbaik di negara ini apabila pelancong merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 4 bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 setiap bulan Ramadan. – MalaysiaGazette