Kenderaan jenis Perodua Axa yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Lipis hari ini

LIPIS – Seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan dua kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 17, Jalan Lipis – Benta, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa Wan Afinulhikman Wan Hamid, 26, disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari ketika mendapatkan rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan 11.30 pagi tadi berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa bergerak dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan sebelum terbabas di lorong sebelah.

”Nahas kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berlaku berhampiran Taman Jelai, Lipis di mana mangsa memandu Presodua Axia, dua kenderaan lagi membabitkan sebuah van Toyota  Hiace dan kereta jenis Proton X50.

”Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar van di bahagian kanan.

”Kemudian datang kereta Proton X50 dari arah belakang van bertembung berhadapan dengan Perodua Axia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelas Azli, pemandu van yang memandu van muatan mesin pencetak mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu di belakang van tidak mengalami sebarang kecederaan.

”Akibat dari kemalangan ini, mangsa  telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

”Pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis,.

“Pemandu kenderan Protong X50 merupakan pesara guru tidak tercedera,” ujarnya.

Azli berkata kes masih dalam sisasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette