PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan membenarkan MYAirline Sdn Bhd beroperasi semula sekiranya syarikat itu tidak melunaskan tunggakan gaji kakitangan serta membuat bayaran balik kepada penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat terbabit perlu melunaskan dua syarat itu jika mahu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula.
“Kita akan bertemu dengan mereka kerana ingin mendengar sendiri apa cadangan mereka, apa status sekarang ini kerana keutamaan ketika ini, apa saja permohonan yang mereka ingin buat, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi jika mereka mahu memulakan semula operasi.
“Pertama, mereka perlu berusaha memastikan ‘refund’ dibuat, kedua, apa saja (gaji) tertunggak terhadap kakitangan mereka, perlu dibayar dan jika mereka boleh memenuhi dua syarat ini, baru kita boleh berbincang, jika tidak, ‘no way’,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2024 di kementeriannya di sini, hari ini.
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi atas alasan menghadapi tekanan kewangan.
Bagaimanapun, media hari ini melaporkan MYAirline Sdn Bhd memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023.
Artikel berkaitan:
Sehubungan itu, sumber yang tidak menyatakan nama pelabur berharap, MYAirline boleh melaksanakan usaha menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.
Dalam pada itu Loke berkata, sekiranya mereka melaksanakan dua syarat terbabit, sebarang permohonan menyambung semula operasi perlu mengikut prosedur ditetapkan termasuk syarat 51 peratus pegangan saham syarikat Malaysia.
Mengulas isu berkaitan penemuan palam pintu dipercayai milik pesawat Alaska Airline yang tertera perkataan ‘buatan Malaysia’, beliau berkata, tidak boleh memberi ulasan kerana tidak menerima sebarang maklumat.
Bagaimanapun, katanya jika terdapat permohonan rasmi daripada syarikat penerbangan berkenaan, pihaknya akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menelitinya.
“Kita belum terima apa-apa maklumat lagi, saya tak boleh komen kerana ia bukan di bawah kawal selia kita dan saya tak boleh bagi komen secara umum.
“Kita pun tidak tahu adakah ia sahih atau tidak kerana hanya mengikut laporan media daripada seorang pemerhati,” katanya.
Mengenai pemeriksaan terhadap sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk mengesan perkakasan yang longgar, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud pula mengesahkan syarikat pengendali penerbangan berpangkalan di Malaysia sudah melaksanakan perkara terbabit.
“Untuk Malaysia Airlines dan Batik Airlines, semua sudah diperiksa, tidak sebarang penemuan,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan syarikat pengendali penerbangan berpangkalan di Malaysia diarah memeriksa sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk mengesan perkakasan yang longgar.
Maklumat keselamatan oleh CAAM yang dikeluarkan pada Khamis lalu, mengarahkan pengendali menjalankan pemeriksaan pesawat Boeing 737 MAX untuk mengesan satu ‘bolt’ seperti yang disenaraikan dalam nasihat oleh Syarikat Boeing. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
- Pengasas MyAirline dan 4 syarikat gagal batal saman 15 pelabur
- Penumpang MYAirline boleh tuntut bayaran balik walaupun tarikh perjalanan sudah luput