Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara, Muhammad Syahmi Asyraf Mohd Zaini, 14, maut di lokasi akibat cedera di seluruh anggota badan.

JASIN – Seorang pelajar tingkatan dua yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal diboncengnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Air Baruk, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara, Muhammad Syahmi Asyraf Mohd Zaini, 14, maut di lokasi akibat cedera di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, rakannya yang menunggang motosikal jenis Honda C100 berusia 16 tahun bagaimanapun cedera di kepala dan beberapa bahagian badan.

Menurutnya, siasatan mendapati nahas dipercayai berlaku apabila sebuah lori dari arah Kesang menghala ke Bandar Jasin memperlahankan kenderaan kerana van di hadapannya berhenti untuk masuk ke simpang.

“Ketika itulah motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang tiba-tiba merempuh bucu kanan belakang lori menyebabkan kedua-dua pelajar terbabit tercampak ke lorong bertentangan.

“Pada masa sama sebuah kereta jenis Honda Civic yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh Muhammad Syahmi Asyraf,” katanya.

Tambahnya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast