KUALA LUMPUR – Lebih 19 juta rakyat Taiwan dijangka akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Presiden dan Parlimen yang bakal menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru pada Sabtu ini.
Timbalan Presiden, Lai Ching-te dari parti yang memerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) dicabar Hou Yu-Ih dari parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) dan bekas Datuk Bandar Taipei, Ko Wen-je dari Parti Rakyat Taiwan (TPP).
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berkata, calon DPP, Lai dilihat perlu berkerja keras bagi membuktikan beliau dan partinya terus relevan pada rakyat Taiwan.
“Hubungan Taipei dan juga Beijing agak rengang kerana polisi Presiden semasa Tsai Ing-Wen lebih menjurus kepada akrab dengan Amerika Syarikat berbanding dengan KMT lebih rapat kepada Beijing.
“Dalam hal ini, Lai perlu buktikan beliau mampu memastikan keamanan dan kestabilan hubungan silang selat terus dipertahankan disamping menambah baik ekonomi negara itu biarpun terpalit dengan tomahan isu moral,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Terdahulu, media tempatan mendakwa Lai mempunyai seorang anak tidak sah taraf pada 2015, bagaimanapun perkara itu telah disangkal oleh Lai.
Azmi berkata, jika DPP berjaya memenangi pilihan raya ini, parti itu akan memperoleh penggal ketiga berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sistem politik Taiwan menetapkan had jawatan presiden boleh disandang hanya untuk dua penggal sahaja menyebabkan presiden semasa Tsai Ing-Wen perlu meletak jawatan dan rakyat bebas memilih ketua negara yang baharu.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, pemerhati antarabangsa juga melihat KMT mempunyai pengaruh tersendiri dalam pilhan raya kali ini.
“Kebanyakan masyarakat Taiwan tidak mahu berlakunya pergeseran dengan China bahkan mereka berharap negara ekonomi kedua terbesar dunia itu dapat menyediakan lebih banyak peluang peniagaan dan pekerjaan kepada mereka.
“Oleh KMT dilihat lebih rapat dengan China mampu memberikan kemahuan ini,” katanya.
Azmi berkata, daripada segi geopolitik, calon TPP, Ko dilihat lebih neutral dengan tidak memihak China mahu pun Amerika Syarikat kerana beliau dilihat lebih fokus untuk membangunkan serta memperkukuhkan ekonomi Taiwan.
“Secara peribadi beliau seorang yang beribawa jika berjaya mendapat tampuk kepimpinan ini, bagaimanapun parti TPP ini masih baru dan dan berkemungkinan sukar mendapat majoriti dalam Parlimen negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette