KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hanya segelintir pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bermasalah dan terlibat dengan aktiviti jenayah.
Justeru katanya, masyarakat tidak perlu bimbang dan sebaliknya terus memberi kepercayaan kepada pasukan keselamatan itu untuk menjalankan siasatan telus berkaitan kes-kes jenayah melibatkan pegawai dan anggotanya.
Menurut Razarudin, setiap anggota polis sentiasa diselia oleh penyelia masing-masing dan Polis Diraja Malaysia mempunyai kaedah sendiri untuk mengendalikan pegawai dan anggotanya termasuk menangkap mereka yang terlibat jenayah.
“Dalam 137,000 keanggotaan polis, tidak sampai dua peratus pun polis melakukan kesalahan tatatetib atau terlibat jenayah kerana mereka ini diselia pegawai atasan.
“Sebagai contoh, 15 minit sebelum bertugas mereka (anggota polis) akan diberikan taklimat ‘roll call’ oleh penyelia, begitu juga dengan penggunaan pistol.
“Taklimat ‘roll-call’ dalam kalangan anggota polis bertujuan mengelakkan perbuatan menyeleweng daripada tugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Razarudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol seorang penuntut sebuah kolej swasta di Bukit Ampang View, di sini, pada Selasa lepas.
Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, dua anggota polis peronda berkenaan turut ditahan kerja hingga siasatan kes berkenaan selesai.
Ketua Polis Negara itu juga berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Daerah di seluruh negara agar menyelia pegawai dan anggota masing-masing.
“Takkanlah disebabkan dua anggota polis yang bermasalah in (menyamun dan merogol penuntut), saya perlu menukar modul pengajaran polis?,” katanya.
Razarudin berkata di dalam perkhidmatan polis, banyak prosedur dan pelbagai arahan mesti dipatuhi setiap pegawai dan anggota antaranya perlu mengangkat sumpah supaya tidak terlibat dengan dadah dan lain-lain aktiviti jenayah.
“Walaupun mereka ini telah mengangkat sumpah dan telah diselia, sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Bagaimanapun Razarudin menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggotanya yang terlibat dengan jenayah.
Katanya, sebarang perlakuan jenayah melibatkan pegawai dan anggota polis akan disiasat secara telus dan berharap masyarakat memberi kepercayaan penuh kepada polis.
“Sebagai contoh, anggota polis yang dituduh melanggar seorang pelajar sekolah menengah sehingga maut, kita tidak berselindung dan dakwa dia (anggota polis terlibat) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh, jadi memang tiada kompromi,” katanya.
Pada Disember lepas, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut melibatkan pelajar Tingkatan Lima berhampiran sebuah sekolah menengah di Meru, Ipoh.
Mengenai empat anggota polis yang ditahan baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam memproses ketum dipercayai untuk kegunaan sendiri, Razarudin berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu termasuk menjalankan ujian saringan air kencing. – BERNAMA