DJ Lin.

KUALA LUMPUR – Netizen di media sosial meluahkan rasa kecewa selepas Tyzo tidak disambung kontrak di stesen radio Suria FM di mana khidmatnya berakhir semalam.

Malah mereka juga hairan dengan tindakan pengurusan Suria FM itu kerana Tyzo pemenang Anugerah Penyampai Radio Paling Popular pada tahun lalu.

Pada masa sama, nama Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin menjadi mangsa apabila telah dipetik netizen sebagai punca Tyzo meninggalkan stesen radio itu.

Pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Tyzo menamatkan penguasaan DJ Lin dalam kategori Penyampai Radio Popular apabila merampas gelaran itu daripada rakan setugasnya itu.

DJ Lin meraih trofi Penyampai Radio Popular pada ABPBH 29 dan tiga edisi berturut-turut iaitu pada edisi ke-32, 33 dan 34.

Tyzo yang sudah hampir dua dekad berkecimpung dalam industri radio, pernah meninggalkan Suria FM pada 2012. Namun, Tyzo kembali semula ke stesen berkenaan pada 2016.

Tyzo menyertai dunia penyiaran menerusi stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004.

Dia pernah menyumbang khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.

Sementara itu, menurut laporan media hari ini, DJ Lin berkata, satu sidang media khas akan diadakan oleh pihak Suria FM pada 19 Januari minggu depan untuk menjelaskan isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

“Insya-Allah, Jumaat depan kami akan jelaskan semuanya dalam satu sidang media.

“Saya tidak pernah menghampakan wartawan sebelum ini setiap kali mahu mendapatkan komen atau apa sahaja kenyataan. Tapi untuk kali ini, saya minta maaf, tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan sehingga Jumaat nanti,” katanya.

Semalam, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir atas alasan sebagai strategi untuk tahun 2024.

Namun menurut sumber, faktor kontrak Tyzo tidak disambungkan gara-gara dia meminta kenaikan gaji tinggi selepas bergelar penyampai radio popular dan mendapat tawaran di stesen radio lain.

Pihak sumber manusia syarikat hanya mampu memberi sedikit kenaikan dan tidak dapat memenuhi apa yang diminta Tyzo itu.

Atas keputusan itu, Tyzo sedia menyambung kontraknya dengan memberi pelbagai syarat termasuk akan berkhidmat pada tempoh tertentu dan boleh meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Bagaimana selepas keputusan itu dibawa kepada pengurusan tertinggi syarikat telah berpendapat agar tidak menyambung kontraknya dan mencari penyampai yang baharu. – MalaysiaGazette