KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-76, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mendoakan Tuanku Muhriz; Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat serta hidayah dan terus diberi keafiatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-76, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

“Mendoakan semoga Duli Tuanku dan Tunku Ampuan Besar serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai 473 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Keputeraan ke-76, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula merupakan penerima tunggal Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast