Gambar hiasan

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 12,980 kilogram (kg) daging babi sejuk beku bernilai RM116,820 selepas menahan sebuah lori di tepi Jalan Kampung Gertak Serong di Pasir Mas pada 4 Jan lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, susulan kejadian pada 5 pagi itu, dua lelaki yang juga pemandu dan kelindan lori turut ditahan.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi penyeludup adalah dengan mendapatkan daging babi itu di pangkalan haram Mentua dekat Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum diisi ke dalam lori sejuk beku.

“Kesemua daging babi itu dengan anggaran cukai sebanyak RM46,728 dipercayai dibawa masuk ke sini menggunakan bot dan akan dibawa ke Pantai Barat Semenanjung untuk pasaran di sana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan nilai barangan yang dirampas termasuk cukai dan sebuah lori bernilai RM150,000 adalah sebanyak RM313,548.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, pada hari sama, JKDM Kelantan turut berjaya merampas 1,490.39 gram ketulan mampat daun ganja dan 168 biji pil methamphetamine yang kesemuanya bernilai RM5,853.09.

Beliau berkata, rampasan dilakukan pada 10 pagi selepas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kelantan membuat pemeriksaan terhadap dua bungkusan plastik berwarna putih di sebuah premis kurier di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Dalam perkembangan lain, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya juga berjaya membanteras cubaan menyeludup 2,850 kg isi ayam beku selepas menyerbu sebuah premis di Kampung Becah Keranji, Pasir Tumboh, Kota Bharu pada 3 Jan lepas.

“Kesemua isi ayam yang dirampas bernilai RM15,247 dengan nilai cukai ditaksirkan sebanyak RM6,099. Turut ditahan ialah seorang lelaki berumur 56 tahun.

“Modus operandi yang digunakan ialah membawa masuk daging ayam sejuk beku terbabit dari negara jiran menggunakan bot atau sampan dan dimuatkan ke dalam lori atau kenderaan persendirian ke premis untuk ditukarkan pembungkusan dan diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Menurut Wan Jamal Abdul Salam, daging babi dan ayam beku diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Bagi ketulan mampat daun ganja dan 168 biji methamphetamine akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast