Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA – Para hakim bebas untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa sebarang rasa gusar terhadap natijah politik atau sosial berhubung keputusan mereka, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata berbeza dengan ahli politik, hakim tidak perlu menjawab kepada sesiapa, atau diperintah oleh desakan politik atau populariti.

“Seorang hakim seharusnya menjadi penimbangtara berperlembagaan yang bebas bagi keadilan, antara negara dan subjek-subjeknya (dan sebaliknya), serta antara subjek-subjek sesama sendiri.

“Kesetiaan hakim jelas dalam sumpah kehakimannya yang ditauliahkan oleh Perlembagaan, diikrar bagi tujuan melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Merujuk kepada keputusan Pendakwa Raya menarik balik tuduhan jenayah terhadap individu berprofil tinggi sebelum ini, Tengku Maimun berkata keputusan-keputusan ini mungkin tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, namun sebahagian besar kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana terpaksa mengeluarkan perintah yang tinggal sahaja, setelah pertuduhan ditarik balik.

Tengku Maimun berkata di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan selain di hadapan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata apabila Pendakwa Raya memutuskan untuk menarik balik pertuduhan, mahkamah hanya mempunyai satu daripada dua pilihan berbangkit yang minimum.

“Bergantung kepada fakta, kedua-dua pilihan ini adalah sama ada memberikan perintah melepas tanpa membebaskan yang popular sebagai DNAA, atau melepas dan membebaskan atau DAA.

“Mahkamah tidak boleh menyanggah dan bertegas dengan Pendakwa Raya bahawa pertuduhan akan kekal. Badan kehakiman dan Pendakwa Raya masing-masing mempunyai fungsi perlembagaan mereka sendiri dan kedua-duanya mesti dihakimi secara adil untuk melaksanakan kuasa mereka, mengenepikan yang lain,” katanya.

Tengku Maimun berkata apabila pertuduhan ditarik balik, hakim yang membuat satu-satunya perintah yang tinggal, akan dikatakan korup, kadangkala sebagai tidak cekap atau kedua-duanya.

“Orang ramai gagal memahami bahawa orang yang bertanggungjawab terhadap keputusan itu ialah Pendakwa Raya dan bukannya mahkamah. Selalunya mahkamah yang dihukum atas keputusan sedemikian dan ini menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman,” tambahnya.

Berita lanjut menyusul. – MG