Prabowo Subianto. Foto Antara News

Oleh: Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad

UMUM mengetahui bahawa Pemilihan Presiden Indonesia 2024 bakal berlaku pada 14 Februari 2024. Pemilihan ini sinonim dengan cakap-cakap rakyat sebagai PEMILU 24. Walaupun rata-rata rakyat Indonesia lebih selesa dengan kepimpinan Jokowi, namun keterbatasan perlembagaan tidak memungkinkan Jokowi terus menjadi Presiden Republik Indonesia.

Republik Indonesia merupakan sebuah negara yang sangat berpotensi dengan jumlah populasi yang menjangkau 150 juta orang. Berada di dalam tangga 10 teratas sebagai negara berpopulasi tinggi di dunia, Indonesia sudah semestinya bakal menjadi saingan hebat di rantau Asia Tenggara.

Tambahan pula, plan pembangunan yang telah direka bakal memberi nilai tambah kepada pentadbiran Republik Indonesia. Perubahan pusat pentadbiran ke Nusantara bakal memberi ruang pembangunan dengan lebih pesat lagi. Namun, perpindahan ini hanya melibatkan pusat pentadbiran tetapi pusat pelaburan dan perniagaan dijangka akan kekal di Jakarta. Disinilah cabaran kepada Presiden yang bakal dipilih nanti. Bagaimana untuk menyeimbangkan pembangunan di Jakarta yang akan kekal dengan kesesakan jika tidak diurus dengan baik.

Ganjar, Anies dan Prabowo

Sinonim kepada tiga pemimpin ini penulis memberikan nama GAP. Tidak boleh lagi dinafikan bahawa GAP adalah pemimpin yang cukup terkenal dan popular di Indonesia. Pada ketika ini, kesemua calon dilihat lebih berpotensi untuk mememangi PILPRES 2024. Di pihak Ganjar Pranowo, beliau mendapat sokongan daripada Parti Demokratik Indonesia –Perjuangan, PDI-P yang popular kerana kepimpinan cemerlang Presiden Jokowi.

Sokongan ini sangat signifikan kepada Ganjar kerana majoriti rakyat Indonesia melihat Jokowi sebagai pembawa pembaharuan kepada Indonesia. Selain itu, Partai Persatuan Pembangunan, PPP juga memberikan sokongan kepada Ganjar Pranowo sebagai calon Presiden 2024 yang mengukuhkan lagi sokongan kepada Ganjar. Walaupun terdapat parti lain seperti Hanura dan PSI, namun sokongan PDI-P dan PPP ini adalah yang paling signifikan kepada Ganjar.

Di pihak Anies Baswedan pula, Parti Nasdem yang diwakilinya telah meletakkan kepercayaan kepada Anies untuk menjadi calon Presiden. Anies juga mendapat sokongan yang signifikan daripada Parti PKS dan Parti Demokrat. Oleh itu, keadaan ini menjadikan Anies sebagai calon Presiden yang kuat sokongannya.

Bagi Prabowo Subianto beliau juga mendapat sokongan yang begitu ketara dan kukuh daripada partinya iaitu Parti Gerindra. Selain itu, sokongan signifikan juga diberikan oleh Parti Golkar, yang sememangnya sebuah parti politik yang begitu lama di Indonesia. Prabowo juga mendapat sokongan daripada Parti Pan dan Parti PKB. Hal ini menunjukkan terdapat 4 buah parti dominan yang menyatakan sokongan kepada Prabowo.

Sehingga 9 Januari 2024, badan-badan penyelidik di Indonesia mendapati  Prabowo sedang mendahului pesaingya untuk memenangi jawatan Presiden Indonesia. Walau bagaimanapun, tempoh untuk berkempen masih lagi berlangsung dan peluang untuk menang masih lagi terbuka buat semua calon.

Walau siapa pun yang memenangi Presiden Indonesia nanti, negara garuda itu sudah pasti akan meneruskan usaha-usaha pembanguan. Dijangkakan, pelan pembangunan yang telah dibuat ketika ini oleh Jokowi, pasti akan diteruskan oleh penggantinya. Begitulah selalunya yang berlaku di negara Indonesia, pemimpin datang dan pergi tetapi kemajuan terus diusahakan.

Pembangunan ekonomi dan wilayah pasti akan terus mewarnai negara Indonesia seusai PilPres 2024 nanti. Walaupun pusat pemerintahan bakal dipindahkan ke Nusantara, namun provinsi-provinsi yang penting kepada ekonomi Indonesia akan terus dimajukan. Akhirnya, negara-negara serantau Asia Tenggara perlu meneruskan kerjasama dengan negara Garuda ini kerana sumber dan hasil negaranya boleh menyumbang kepada pembanguan serantau.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM; Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM