Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai selepas Majlis Peluncuran Artifical Intelligence (Ai) Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 16 JANUARI 2024.

SERDANG – Cadangan satu undang-undang khusus iaitu Akta Parlimen Berpenggal Tetap bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya bukan menjadi keutamaan ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dan dianggap belum matang untuk dilaksanakan.

Malah beliau mengakui belum mendapat konsensus di kalangan pemimpin di kalangan Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan mengkaji dan tetapi bagi saya ia bukan satu keutamaan ketika ini. Masalah yang timbul sebenarnya berpunca dari pembangkang. Mereka tiada asas dan sangat lemah ketika ini.

“Malah tiada sokongan satu pertiga dan keutamaan saya ingin membawa transformasi kepada Malaysia menjadi negara hebat,” katanya selepas melancarkan Majlis AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

eliau diminta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamif yang berkata, dengan undang-undang khusus jika diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Ahmad Zahid berhubung penggubalan akta berkenaan.

Namun beliau menyifatkan penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukan langkah terdesak, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan perdana menteri sebagai menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak menentu.

Sementara itu, AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI. – MalaysiaGazette