Dari kiri, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Eureka Robotics Cardiff Metropolitan University, Dr. Esyin Chew menandatangani MoA dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan East Asia Hub - Country Director Malaysia, Dr Jazreel Goh di Le Meridien Hotel Putrajaya hari ini

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Cardiff Metropolitan University (CMU) memeterai persefahaman hari ini bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi robotik dan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kerjasama ini meningkatkan peluang pembelajaran dalam kalangan mahasiswa.

Selain itu, katanya, kolaborasi ini bakal memanfaatkan gabungan peringkat antarabangsa, perkongsian kepakaran dan khidmat masyarakat.

”UMPSA telah berkongsi kepakaran literasi robotik ke peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Robot Literacy Program with Community in Wales, Cardiff pada tahun lalu yang mendapat kerjasama Cardiff Metropolitan University dan British Council.

”UMPSA komited dalam menyumbang kepakaran melangkaui bidang akademik, termasuk sumbangan kepada masyarakat, khususnya memperkasakan wanita dalam STEAM-H dan mempromosikan literasi media dan maklumat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hadir menandatangani memorandum perjanjian  (MoA) di Putrajaya hari ini ialah Pengarah Eureka Robotics Cardiff Metropolitan University, Dr. Esyin Chew dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan East Asia Hub – Country Director Malaysia, Dr Jazreel Goh.

Turut sama, Koordinator STEM CMU, Dr Chow Siing Sia. – MalaysiaGazette