KUANTAN – E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) melebarkan jaringan kerjasama dalam menerusi Program Minyak dan Gas bagi tenaga kerja industri bersama Pahang Skills Development Centre dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Zulkarnain Ismail berkata, kerjasama antara dua institusi tersebut dilihat memenuhi permintaan tenaga kerja minyak dan gas pada masa depan.
”Ini adalah salah satu langkah proaktif bagi menawarkan program yang dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal graduan dalam bidang minyak dan gas serta memastikan bahawa mereka memenuhi piawaian industri.
”Komitmen yang kita mulakan bukan sekadar satu perjanjian di atas kertas, ini adalah komitmen untuk memupuk bakal mendorong inovasi dan membina ekosistem yang berterusan bagi memajukan industri kita ke hadapan.
”Kerjasama antara Pahang Skills dan UTP akan mencipta sinergi yang merapatkan jurang antara akademik dan industri, memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan, dan daya saing serta penyesuaian yang diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah ini.
”Pendidikan adalah pelaburan yang sangat tidak ternilai bagi sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara, yang akan dipimpin oleh anak muda pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.
Majlis MOU tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi EPOMS, Raja Datuk Seri Mufik Affandi Raja Khalid dan Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut bin Awang Samah.
Persefahaman bersama itu memfokuskan dua intipati utama meliputi Pengembangan Program Pendidikan dan Latihan dan Kerjasama penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Untuk rekod, UTP telah dinobatkan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan institusi swasta terbaik di ASEAN oleh Times Higher Education (THE) Asia University Rangking 2023.
UTP juga telah menunjukkan peningkatan yang terbaik di dunia iaitu “World’s Most Improved University dalam QS World University Rankings 2023 by Subject. – MalaysiaGazette