Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Program Minggu Negarawan dengan tajuk Setahun Kerajaan PHBN di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang.

Ia susulan Aaron memberi penegasan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang sengaja mencipta ketegangan.

Mahathir berkata, pihak yang asyik bercakap tentang masyarakat majmuk tetapi mengkritiknya berkait isu bangsa perlu bertanya kenapa wujud parti-parti berasaskan kaum di negara ini.

“Yang asyik bercakap tentang multiracial dan kritik saya berkenaan isu berkaitan kaum harus bertanya kenapa wujud parti-parti berasas kaum dalam negara ini. Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia.

“Ada parti yang dakwa mereka parti multiracial tetapi bekas pemimpin mereka kata parti itu fake multiracial, iaitu palsu. Saya sedia jumpa dengan Menteri Aaron Ago Dagang seperti yang dia cadang. Saya harap dia datang,” tulis beliau di media sosial miliknya.

Sebelum ini, Aaron berkata, semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik sekali lagi diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga boleh menimbulkan kebencian.

Sebaliknya, beliau berkata, pemimpin politik sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan antara kaum.

“Pemimpin politik sepatutnya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang menimbulkan kebencian.

“Mereka sepatutnya menjadi contoh supaya rakyat hidup dalam keadaan muhibah dan semangat kebersamaan walaupun berbeza agama dan kaun,” katanya.

Penegasan itu dikeluarkannya bagi mengulas kenyataan Mahathir mengenai masyarakat India di Malaysia dalam satu sesi temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanti TV.

Kenyataan Dr Mahathir itu menimbulkan bantahan pelbagai pihak yang melihat isu itu boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast