KPDN Pahang menahan seorang lelaki dan turut menyita sejumlah 139.54 liter minyak diesel yang diisi ke dalam 8 buah tong plastik (Jerry can) di sebuah stesen minyak dalam bandar raya Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Seorang lelaki selamba mengisi diesel tanpa memiliki permit ke dalam lapan buah tong di kenderaan pikap di stesen petrol akhirnya dicekup oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di sini semalam.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan terhadap pengusaha stesen minyak berkenaan kerana menjual barang kawalan kepada individu yang tidak memiliki permit kebenaran yang sah.

”KPDN Pahang telah bertindak menahan seorang lelaki dan turut menyita sejumlah 139.54 liter minyak diesel yang diisi ke dalam lapan buah tong plastik di sebuah stesen minyak dalam bandar raya Kuantan.

”Lelaki berusia 46 tahun disyaki memiliki barang kawalan (minyak diesel) dengan niat untuk melakukan kesalahan iaitu tidak memiliki permit kebenaran daripada pengawal bekalan.

”Turut disita adalah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk tujuan tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM110,300,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jezlily berkata, kesalahan itu dihidu semasa pemantauan yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa di bawah Ops Tiris 3.0 di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan permit kebenaran yang dikeluarkan oleh pengawal bekalan untuk membeli barang kawalan iaitu minyak diesel.

KPDN telah bertindak menahan lelaki berkenaan untuk tujuan siasatan dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

KPDN juga ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

”Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

”Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

KPDN juga mengalu-alukan agar para pengguna untuk samasama membantu menjadi mata dan telinga KPDN dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan. – MalaysiaGazatte