SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengarahkan ahli perniagaan, Mirzan Mahathir untuk mengisyitharkan harta.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu diarahkan berbuat demikian setelah SPRM menyerahkan notis perintah di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis berkenaan mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata SPRM dalam kenyataan satu muka surat, hari ini.

Semalam, SPRM memanggil Mirzan untuk dirakamkan keterangan berhubung aktiviti perniagaannya pada akhir 1990an.

Siasatan itu difahamkan dilakukan terhadap syarikat kepunyaan individu berkenaan yang didakwa membeli sebuah subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam pada itu, SPRM berkata, ia telah memanggil 10 saksi bagi bagi tujuan dirakam pernyataan.

Katanya, suruhanjaya itu sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih dijalankan.

“SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast