Mohd Kamil Ibrahim menunjukkan set alat tulis untuk 22,270 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini

KUANTAN – Seramai 20,270 calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 di Pahang akan menerima set alat tulis istimewa daripada Menteri Besar Pahang bermula minggu depan.

Naib Pengerusi 1 Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Mohd Kamil Ibrahim berkata, agihan set alat tulis tersebut beserta kad ucapan daripada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail  atau dikenali Tok Wan akan diagihkan bermula 24 Januari ini.

Mohd Kamil Ibrahim

Menurutnya, Pahang merupakan negeri pertama yang meraikan hampir semua calon SPM melalui Program Bekalan Alat Tulis Pelajar SPM anjuran MTSP dan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang.

”Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang dengan kerjasama MTSP akan mengadakan Program Bekalan Alat Tulis Pelajar SPM sesi 2022-2023 yang melibatkan seramai 20,270 orang pelajar seluruh Negeri Pahang di setiap sekolah pada 24 hingga 29 Januari 2024.

”Lebih manis mereka akan menerima kad ucapan titipan semangat daripada Tok Wan sendiri.

”Justeru Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian masing-masing ditugaskan mengagihkan alat tulis tersebut di kawasan,” katanya.

Kad ucapan selamat maju jaya kiriman Tok Wan kepada calon SPM 2023 di Pahang

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini dan menyifatkan program seumpama itu satu ingatan mesra dan doa daripada pemimpin negeri yang mendoakan kejayaan semua pelajar sebagai sokongan moral,

Tambah Kamil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, program berkenaan menelan belanja sebanyak RM202,700 bagi menyantuni hampir semula calon SPM di negeri ini.

Kad ucapan kiriman MB Pahang beserta kalendar 2024 itu mengandungi ucapan selamat maju jaya kepada anak-anak Pahang yang akan mengambil menduduki peperiksaan bertulis SPM pada 30 Januari ini.

”Kepada anak-anak saya yang menduduki SPM, saya (Wan Rosdy) mendoakan selamat maju jaya dan bersungguh-sungguhlah menjawab soalan. Anak-anak semua pewaris kepada keharmonian dan kemakmuran negeri Pahang.

”Dan jangan kita gadaikan apa yang telah kita bina bersama selama ini saya (Wan Rosdy) kasih dan sayang kepada anak-anak semua,” katanya dalan kad ucapan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast