GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Hindu Sangam negeri menggesa organisasi amal mengurangkan saiz makanan percuma yang akan disediakan semasa hari Thaipusam nanti.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, ia susulan tinjauan CAP mendapati kira-kira 50 tan makanan dibuang setiap tahun di Pulau Pinang semasa perayaan tersebut.
“Pengurangan saiz makanan percuma semasa perayaan itu dapat mengelakkan berlakunya pembaziran yang ketara.
“Kita tidak mahu perayaan yang suci itu menjadi platform pembaziran,” katanya pada sidang media di Jalan Kebun Bunga di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Subbarow turut menggesa semua pengurusan kuil di negara ini agar tidak menggunakan bekas polistirena untuk menghidangkan makanan pada Thaipusam.
Jelasnya, pembungkusan bahan makanan dengan menggunakan bekas polistirena biasanya mengandungi bahan kimia seperti ‘stirena’ yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada penganut dengan alasan bekas itu mudah untuk menguruskan orang ramai.
“Penganut dan pengunjung mesti ingat bahawa plastik tidak boleh dikompos dan kekal di tanah untuk masa yang lama. Malah, peningkatan sisa plastik akan menjadi beban kepada alam sekitar.
“Sehubungan itu, kami menggesa agar larangan penggunaan plastik dan bekas polistirena di seluruh negara dikuatkuasakan,” katanya.
Tambah beliau, biarlah perayaan Thaipusam menjadi satu platform untuk menyelamatkan alam sekitar daripada terus tercemar. – MalaysiaGazette