PEKAN – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 21, Jalan Lipis-Lubuk Kulit, Padang Tengku, Lipis petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor, pihaknya menerima laporan berkenaan kemalangan terbabit pada jam 7.53 petang.

Beliau berkata, kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Demak Smart Z, Honda EX 5 dan sebuah kereta jenis Proton Persona, kesemuanya telah tamat cukai jalan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya menghala ke Lipis selesai bermain futsal secara tiba-tiba dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta Proton Persona itu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Superintendan Azli Mohd Noor

Jelasnya, akibat pelanggaran tersebut, motosikal itu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan sebuah motosikal jenis Honda EX 5.

Ekoran itu, mangsa, Sayid Nurakmal Abdul Hisham, 13 yang dilaporkan tidak memakai topi keledar telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette