TEL AVIV – Keluarga tebusan Hamas yang terbunuh di Gaza menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya menamatkan serta merta serangan ke atas Gaza dan segera membebaskan tahanan.
Seorang kakak kepada salah seorang tebusan menyalahkan Netanyahu atas pendiriannya yang bercanggah dalam pembebasan tahanan Israel hingga meletakkan nyawa tebusan terancam.
Merav Svirsky, kakak kepada Itay Svirsky yang terbunuh dalam pengeboman tentera Israel ke atas Gaza beberapa hari lalu telah menyeru agar serangan di kawasan itu dihentikan.
“Kerajaan berkata pemulangan orang yang diculik adalah keutamaannya. Jika tidak, mereka telah berbohong kepada kami selama ini,” kata Svirsky meminta semua warga Israel untuk menyertai protes di hadapan rumah Netanyahu dan mengambil tindakan.
Dalam dalam temu bual dengan penyiar Israel Channel 12, Svirsky berkata, matlamat perang kerajaan Netanyahu adalah bercanggah dengan usaha untuk menyelamatkan rakyat Israel yang ditahan oleh Hamas sejak 7 Oktober lalu.
Dia berkata, kemusnahan Hamas dan pemulangan tebusan adalah matlamat yang tidak serasi dengan menyatakan bahawa konflik itu meletakkan nyawa tebusan dalam bahaya.
Beliau turut menekankan perjanjian kedua-dua pihak yang memastikan pemulangan tebusan yang ditahan di Gaza.
Pejuang Palestin pada mingggu lalu mengumumkan bahawa dua tahanan Israel terbunuh dalam siri pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dengan Itay Svirsky dikenal pasti sebagai salah seorang yang maut.
Sebelum ini tiga tebusan Israel maut selepas ditembak oleh tentera negara itu sendiri yang tidak mengendahkan bendera putih yang dipegang serta kata-kata meminta tolong yang diungkapkan dalam bahasa Hebrew.
Negara zionis itu turut mengumumkan sekurang-kurangnya 20 tentera maut di Gaza akibat ditembak atau dibom oleh rakan sendiri.
Pada Sabtu beribu-ribu rakyat Israel berdemonstrasi menentang kerajaan pimpinan Netanyahu dan mendesak beliau meletakkan jawatan kerana didakwa bertanggungjawab dalam siri kematian tebusan Israel.
Peserta perhimpunan di Tel Aviv menuntut perang di Gaza dihentikan serta-merta demi membebaskan lebih 100 tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Hamas bertegas tidak akan membebaskan baki tebusan 105 tahanan yang diculik dari selatan Israel pada 7 Oktober sehingga tentera Israel berundur dari Semenanjung Gaza.
Netanyahu dan beberapa Kabinet perangnya bagaimanapun, mengatakan bahawa Hamas perlu dikalahkan secara ketenteraan untuk mendapatkan pembebasan tebusan yang tinggal. – MalaysiaGazette