Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) menyampaikan peranti tablet kepada seorang pelajar pada majlis Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Dewan Persidangan TSR di Shah Alam, Selangor, hari ini

SHAH ALAM – Kerajaan akan menjalinkan kerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu adalah bersasarkan kepada pendidikan teknologi terkini di dunia.

“Kita sudah mulakan dan akan memperbanyakkan lagi kursus-kursus sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Dewan Persidangan TSR di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan peranti tablet daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri kepada seramai 200 pelajar kaum India yang sedang mengikuti pengajian di universiti-universiti tempatan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyarankan agar lebih banyak tempat disediakan untuk generasi muda kaum India yang ingin menyertai aliran TVET.

Menurut beliau, keutamaan seharusnya diberikan kepada mereka yang tercicir daripada pendidikan peringkat menengah.

“Kerajaan salurkan mereka di TVET dan kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih dalam institusi TVET,” jelasnya. – MalaysiaGazette