MELAKA – Kerajaan negeri memberi jaminan tiada lagi insiden pesakit Hospital Melaka diusung ke unit rawatan rapi (ICU) melalui tangga seperti yang tular tahun lalu akibat kerosakan pada lif utama bangunan itu.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia ekoran sebanyak 11 buah lif baharu telah dinaik taraf melibatkan kos RM7.2 juta.
Menurutnya, usaha yang dapat melancarkan operasi harian hospital itu bermula September tahun lalu dan siap sepenuhnya awal Januari lalu, sebulan lebih awal dari tarikh sepatutnya pada 3 Februari ini.
“Saya harap dengan adanya 11 lif baharu ini, ia berjaya menyesaikan isu kerosakan lif sejak sekian lama untuk memudahkan para pesakit dan pelawat bergerak dari satu wad ke satu wad lain.
“Ini terutamanya untuk pergerakan dari kecemasan ke wad ICU termasuklah laluan utama hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik Taraf dan Penggantian Sistem Lif di Hospital Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem
MalaysiaGazette pada 3 Januari lalu melaporkan tular di media sosial mengenai seorang pesakit yang terlantar di atas katil diusung ke ICU melalui tangga sakibat kerosakan pada lif utama bangunan itu.
Insiden berkenaan mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian serius menyelesaikan masalah itu.
Mengulas lanjut, Hameed turut berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana berjaya menyiapkan lif berkenaan lebih awal selain menjimatkan kos sebanyak RM500,000.
“Kita ada baki lagi 10 buah lif daripada 21 buah yang masih boleh digunakan dan akan diselenggara secara berkala,” katanya. – MalaysiaGazette.