MELAKA – Empat lelaki termasuk dua warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas 26 pertuduhan mencuri, menerima dan melupuskan harta curi milik Telekom Malaysia (TM) berjumlah RM649,189.63 sejak Disember tahun lalu.
Tertuduh, warga India, Dharmaraj Ramar, 34, Puviyarasan Arjunan, 25, dan dua lelaki tempatan, Hiew Vee Looh, 42, Yeo Choon Leng, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan dalam empat prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni, Vee Looh dan Choon Leng secara bersama didakwa telah mencuri 442 kad akses sistem di kabinet milik TM di lokasi berbeza sekitar Melaka Tengah antara 29 Disember 2023 hingga 7 Januari lalu.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam boleh hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sementara itu di hadapan majistret sama Dharmaraj dan Puviyarasan yang diwakili peguam Muhammad Afiq Yahawa mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan dengan niat curang melupuskan harta syarikat TM.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai besi buruk di Capitol Indusrial Centre, Jalan Sungai Besi dalam daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda di bawah Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam, dua warga India itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan secara bersama menerima harta curi milik TM.
Perbuatan itu dilakukan pada 29 dan 31 Disember 2023 di alamat sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 413 kanun sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda.
Majistret Khairunnisak kemudian membenarkan dua tertuduh warga tempatan diikat jamin RM97,000 setiap seorang bagi semua 15 pertuduhan di bawah Seksyen 379 KK.
Dharmaraj dan Puviyarasan yang dituduh mengikut Seksyen 414 masing-masing dibenarkan jaminan sebanyak RM37,000 selain syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada dua warga asing itu yang didakwa di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.
Kesemua prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar.
Mahkamah turut menetapkan 5 Mac Depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen untuk kesemua tertuduh. – MalaysiaGazette