BUKIT MERTAJAM – Seorang banduan lelaki yang ditahan di Penjara Tapah, Perak dijatuhi hukuman penjara 54 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api bagi membantu kegiatan along tahun lalu.
Tertuduh, Chow Hon Heng, 31, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar halaman rumah seorang wanita hingga menyebabkan kerosakkan pada harta tersebut.
Juruteknik itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Taman Duku Juru, Bukit Mertajam pada 15 Oktober tahun lalu jam 4.45 pagi.
Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Nurul Aini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira tindakan lelaki itu bukan saja menyebabkan kerugian kepada mangsa malah turut mendatangkan bahaya.
Bagaimanapun, dalam rayuan tertuduh meminta hukuman penjara terhadapnya berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani di Penjara Tapah atas kesalahan mengikut seksyen sama.
Majistret Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman penjara 48 bulan dan didenda RM5,000 selain memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal bayar denda itu.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 29 November lalu.
Tetuduh memaklumkan kepada mahkamah tidak mampu membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan. – MalaysiaGazette