GAZA CITY – Kira-kira 1,000 daripada 1,200 masjid di Semenanjung Gaza telah musnah dalam serangan Israel sejak 7 Oktober.
Menurut pihak berkuasa tempatan, antara masjid yang dimusnahkan adalah Masjid Besar Omari yang dibina pada kurun ketujuh.
Lebih 100 pendakwah Islam turut terbunuh dalam serangan maut Israel di kawasan yang dikepung menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza.
“Kami merayu kepada negara-negara Arab dan Islam serta orang-orang yang berhati nurani untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” tambahnya seperti dilaporkan oleh The New Arab.
Selain masjid, turut dimusnahkan adalah Gereja Saint Porphyrius, gereja tertua ketiga di seluruh dunia.
Tentera zionis turut memusnahkan tapak bersejarah dan warisan termasuk tanah perkuburan Rom berusia 2,000 tahun di utara Gaza yang ditemui tahun lepas.
Muzium Rafah di selatan Gaza yang didedikasikan untuk mengajar tentang warisan panjang dan pelbagai lapisan wilayah itu turut dibom.
“Pendudukan Israel terus memusnahkan berpuluh-puluh tanah perkuburan dan menggali kubur, melanggar kesucian mereka…dan mencuri mayat di dalamnya, dalam satu cabaran yang jelas terhadap piagam antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya.
Israel melancarkan kempen ketenteraan tanpa henti terhadap Semenanjung Gaza pada 7 Oktober membunuh lebih 25,000 orang – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – dan mencederakan sekurang-kurangnya 62,000 orang.
Serangan Israel telah menyebabkan lebih 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan menguatkuasakan pengepungan total yang membawa kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Ia juga telah memusnahkan sekurang-kurangnya 60 peratus infrastruktur enklaf itu melalui sasaran berulang ke atas hospital, sekolah, universiti dan lebih 100 tapak warisan.-Agensi