Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Forum Libat Urus Bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 1,674 penunggang berusia antara 16 hingga 30 tahun maut dalam kemalangan yang membabitkan motosikal pada 2023.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara keseluruhan, jumlah kematian penunggang motosikal pada tahun lalu meningkat 10 peratus yang membabitkan 4,480 kemalangan melibatkan 4,499 jumlah kematian.

“Saya dimaklumkan bahawa kemalangan ini telah mula berlaku di umur rendah walaupun syarat memohon lesen bermula 16 tahun.

“Namun oleh kerana pelajar sekolah rendah telah mula menunggang motosikal seawal tujuh atau lapan tahun.

“(Punca kemalangan maut) Mereka tiada lesen dan tidak ikut peraturan lalu lintas dan peraturan permotoran,” katanya selepas Majlis Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.

Hadir pada majlis Menteri pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Tambah Ahmad Zahid, berdasarkan rekod yang diperoleh, peningkatan kemalangan dan kematian penunggang motosikal dikesan berlaku pada waktu puncak iaitu ketika waktu pergi dan pulang kerja.

Sementara itu menerusi sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia, terdapat beberapa cadangan dikemukakan melibatkan persatuan tersebut.

Antaranya berkaitan acara permotoran bersama JPJ dan memberi pendedahan serta pendidikan awal keselamatan jalan raya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Saya harap pendidikan di sekolah rendah, (dapat diberikan oleh) ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan (kementerian) memohon pihak sekolah membenarkan JPJ dan polis trafik turun ke bawah (bagi memberikan pendedahan kepada murid-murid),” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette