Zam Halim menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Zaini sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Cheras yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis perlu cakna dengan perubahan undang-undang baharu yang secara langsung melibatkan tugas utama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, anggota dan pegawai polis perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa termasuk pengetahuan undang-undang bagi memastikan penguatkuasaan dan penyiasatan dijalankan berdasarkan perkembangan terkini.

“Perubahan teknologi masa kini telah membawa satu gelombang digital kepada gaya hidup masyarakat hari ini seperti kecerdasan buatan (AI), internet of things (IOT), big data analytics serta blok rantai atau blockchain.

“Dengan perubahan teknologi ini, ia membawa kepada perubahan dalam landskap sosial, budaya dan ekonomi sekali gus memberi perkembangan positif dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Ia seiring dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam untuk tempoh lima tahun yang akan menjadi panduan kepada agensi sektor awam bagi memacu agenda kerajaan ke arah membentuk masyarakat digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Cheras di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Superitendan Ridzuan Khalid.

Dalam perkembangan lain, Zam Halim menyeru semua warga IPD Cheras untuk mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Langkah itu bagi menyokong usaha kerajaan dalam pemerkasaan sistem sosial agar tidak berlaku keciciran daripada menerima bantuan atau perlindungan sosial daripada kerajaan.

“Pada 2 Januari 2024 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan satu sistem digital yang selamat dan komprehensif iaitu Pangkalan Data Utama atau singkatannya PADU.

“PADU merupakan pengkalan data utama negara yang akan membantu kerajaan dalam memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai empat anggota polis diberi pemakaian pangkat daripada koperal ke jawatan sarjan.

Wakil-wakil media daripada pelbagai agensi turut diberikan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan dalam penyampaian berita-berita berkenaan kejayaan IPD Cheras kepada masyarakat umum.

MalaysiaGazette turut menerima sijil penghargaan berkenaan yang diterima oleh Wartawan Eksekutif, Mohd Zaini Samsu Hadi. – MalaysiaGazette