Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah, Melaka maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori di Jalan Industri Kelemak.

ALOR GAJAH – Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, di sini, maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori di Jalan Industri Kelemak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Alif Syakirin Mohd. Balkhishah, 23, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja EX-250J dalam perjalanan dari arah Lendu ke Kelemak.

“Kejadian berlaku apabila sebuah lori yang membawa muatan sarung tangan getah membelok ke kanan untuk keluar simpang di Jalan Industri 23 Kelemak.

“Mangsa yang datang dari arah kanan tiba-tiba telah berlanggar dengan lori tersebut dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, terdapat saksi mata yang melihat kejadian tersebut telah meminta individu tersebut tampil untuk membantu siasatan.

“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi nahas mendapati mayat mangsa berada di tengah jalan selain terdapat kesan geseran dan serpihan komponen kenderaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast