KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan program pemindahan ilmu penternakan madu kelulut bagi membantu komuniti setempat dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka.
Pengusaha madu kelulut, Noraini Othman, 53, berkata, hasil jualan perusahaan produk madu kelulut mencecah RM1,500 sebulan dan secara tidak langsung penternakan yang diusahakan itu berjaya mengubah taraf ekonomi penduduk sekitar.
“Saya memuji pihak UMT atas usaha dan pendekatan yang dilakukan dalam membantu masyarakat yang berminat dengan pertanian.
”Walaupun kami hanya orang kampung, hasil ilmu yang dipindahkan oleh penyelidik UMT menjadikan kami sebagai pengusaha madu kelulut yang berjaya. Pertanian kecil-kecilan seperti ini merupakan sumber pendapatan utama kami.
”Kursus yang dianjurkan mudah difahami dan diterjemahkan dengan langsung melalui melalui bongkah koloni yang disediakan. Saya yakin program sebegini perlu diperluaskan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan seperti kami” katanya.
Noraini berkata, dia tertarik dengan seorang penjual madu yang memperkenalkan produk madu kelulut beberapa tahun lalu dan tercetus dalam fikirannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai madu itu dan cara penternakannya.
Katanya, kemudian, anak sulungnya menghadiahkan blok koloni lebah kelulut agar beliau dapat berjinak-jinak dalam dunia penternakan, yang menjadi pendorong perubahan dalam keluarga beliau.
Tambah beliau, bermula dengan jumlah bongkah sarang yang sedikit, akhirnya kini wujud sekumpulan komuniti di Kg. Sedili Kota Tinggi yang mengusahakan penternakan lebah madu kelulut.
“Penternakan madu ini sangat mudah. Ia tidak perlu diberi makan. Hanya perlu menjaga kebersihan kawasan sekitar. Ini yang mendorong saya lebih bersemangat untuk menambahkan lagi blok koloni kelulut kerana ia tidak memerlukan modal yang besar,” ujarnya.
Sementara itu, pakar lebah kelulut dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak berkata, madu mempunyai pelbagai khasiat yang berguna dalam penjagaan kesihatan serta rawatan penyakit.
Menurutnya, ia sering dijadikan sebagai bahan suplemen oleh sesetengah masyarakat yang memberikan keutamaan kepada penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, madu lebah kelulut itu memiliki khasiat yang lebih tinggi berbanding madu lebah biasa.
”Ia kaya dengan antioksida yang mampu mencegah aktiviti radikal yang boleh menyebabkan keradanga.
”Selain itu, madu kelulut juga memiliki indeks glisemik (GI) yang rendah serta kaya dengan kandungan gula ‘trehalulosa’ yang memberi manfaat kepada kesihatan manusia.
”Bukan setakat penjagaan kesihatan sahaja, madu ini juga boleh dijadikan sebagai bahan asas dalam penghasilan pelbagai produk hiliran seperti sabun, gel balm, kosmetik, bar tenaga, kopi kelulut, gula-gula dan coklat,” ujarnya. – MalaysiaGazette