GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan dua opsyen untuk membolehkan bekalan air dapat disalurkan semula kepada pengguna yang terjejas akibat paip di dasar Sungai Perai bocor semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, opsyen pertama adalah pakar penyelam akan membaiki paip bocor itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam.

Manakala opsyen kedua pula ialah mempercepatkan kerja-kerja pemasangan paip khas iaitu pelencongan paip di sungai berkenaan yang dijangka mengambil masa lima atau enam hari.

“Bagaimanapun, dua opsyen tersebut hanya boleh ditentukan selepas penyelam selesai menilai keadaan paip di dasar sungai.

“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu membetulkan injap agar penyelam dapat melakukan penilaian terhadap paip di dasar sungai yang pecah itu.

“Opsyen-opsyen yang disyorkan PBAPP itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, PBAPP juga diarahkan untuk memobilisasikan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas.

“Selain kerjasama daripada pihak bomba sukarela, kita juga akan dapatkan bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menghantar lori tangki dari syarikat-syarikat negeri lain.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan PBAPP sekali lagi saya mohon kesabaran semua pengguna dan rakyat terkesan,” katanya.

Media semalam melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesahkan paip di bahagian dasar Sungai Perai di Seberang Perai bocor sekali lagi.

PBAPP berkata, impak kejadian itu mengakibatkan kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini berdepan gangguan bekalan air mendadak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast