Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 24 JANUARI 2024.

BANGI – Tidak timbul sebarang kemelut mahupun masalah berhubung pelantikan 373 jawatan bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, ini kerana, kuasa melantik ahli JPKK adalah bawah kuasa kementeriannya dan tidak melibatkan kerajaan negeri.

“Tidak ada kemelut (pelantikan JPKK).  Ini tawaran daripada KKDW…bukan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas perkembangan lantikan ahli JPKK di Selangor yang dituntut UMNO setelah menolak tawaran 20 ahli majlis di negeri itu.

Terdahulu, sebelum ini, UMNO Selangor mengumumkan keputusan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada sekutunya Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, UMNO Selangor mahu jawatan JPKK di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain dipetik berkata, keputusan itu membuktikan UMNO Selangor tidak tamak jawatan sebagaimana dakwaan yang tersebar.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengesahkan perbincangan melibatkan dua peringkat iaitu kepimpinan tertinggi parti kerajaan dan kepimpinan negeri.

“Sebenarnya perbincangan diadakan oleh pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain dengan Menteri Besar Selangor (Amiruddin Shari) sendiri.

“Saya juga adakan perbincangan dengan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) perkara ini pasti akan dapat diselesaikan dengan waktu yang singkat mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette