Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan kit alas tulis kepada 70 calon SPM di SMK Lanchang, Temerloh hari ini

TEMERLOH – Pelbagai atur cara telah disusun bagi menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri  Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 30 Januari ini

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kira-kira 10,000 rakyat dijangka menyambut keberangkatan baginda berdua pada hari tersebut.

Wan Rosdy Wan Ismail

“Sesi perbincangan dan mesyuarat diadakan untuk mengatur program terbaik membabitkan jabatan dan rakyat jelata sempena acara keberangkatan pulang tuanku nanti.

“Rakyat akan berpeluang menyambut keberangkatan pulang baginda di Pangkalan TUDM Kuantan, sepanjang jalan ke Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisek, Kuantan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Alat Tulis Untuk Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang hari ini.

Tambah Wan Rosdy, rakyat berpeluang mendekati baginda berdua dan melihat secara dekat upacara keberangkatan pulang nanti.

“Majlis meriah dengan pelbagai acara istimewa termasuk tradisi diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah yang akan dihadiri kaum kerabat diraja, ketua jabatan dan pelbagai golongan,” katanya.

Terdahulu dalam majlis penyerahan alat tulis untuk calon SPM 2023, Wan Rosdy berkata,  sebanyak RM200,700 diperuntukkan untuk diagihkan kepada 20,070 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut.

Agihan itu akan dibuat hingga Isnin depan.

Pada majlis itu seramai 70 calon SPM sekolah berkenaan menerima alat tulis sempena peperiksaan yang akan berlangsung pada hujung bulan ini,

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek dan Pengetua SMK Lanchang, Zalilah Zainudin – MalaysiaGazette