Gambar hiasan

IPOH – Seorang pesara guru mengalami kerugian RM442,947 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud semalam.

Wanita berusia 69 tahun dari Taman Bercham Jaya di sini, dikatakan diperdaya selepas nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp pada Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pada kumpulan WhatsApp itu tertera dalam bahasa Cina: ‘S4 Pandangan Baru Terhadap Kekayaan Group’ yang menawarkan pelaburan wang.

Katanya, suspek yang berperanan sebagai pentadbir kumpulan telah menunjukkan cara-cara menyertai skim pelaburan ‘Accerx’ itu sehingga menarik minat mangsa.

“Tertarik dengan tawaran itu mangsa telah membuat 17 transaksi ke dalam 12 akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM442,947.

“Bagaimanapun, apabila dia ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek telah memintanya terus membuat pembayaran sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette