Ahmad Zulqarnain Onn

KUALA LUMPUR – Ahmad Zulqarnain Onn dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu berkuatkuasa 19 Februari 2024.

Pelantikan Ahmad Zulqarnain yang ketika ini merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diumumkan Lembaga KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zulqarnain menggantikan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II selepas mengetuai KWSP sejak 1 Mac 2021.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu.

“KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Senator Datuk Seri Amir Hamzah atas khidmat beliau dalam melakar hala tuju kejayaan KWSP.

“Pada masa sama, kami ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu. Dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan beliau yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu,” katanya.

Menurut beliau, seluruh pasukan KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi KWSP bagi melindungi masa depan persaraan dan kesejahteraan 15.9 juta ahli KWSP.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda melahirkan penghargaan kepada Ahmad Zulqarnain yang akan meninggalkan syarikat tersebut.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan di PNB, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Zulqarnain atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada PNB, ASNB dan Kumpulan syarikat PNB sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini.

“Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam menyusun pelan strategik tiga tahun yang baharu dan mengemudi PNB ke arah meningkatkan pulangan portfolio, ketangkasan operasi, memperkukuh keupayaan organisasi untuk menjadi progresif dan bertindak balas secara berkesan kepada cabaran yang dinamik. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam peranan baharunya,” katanya dalam kenyataan.

Pengumuman Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan baharu untuk PNB akan dibuat dalam masa terdekat.

Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman korporat yang luas dengan beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi seperti Danajamin Nasional Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Khazanah Nasional Bhd sebagai Timbalan Pengarah Urusan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB pada Julai 2020.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard.- MalaysiaGazette