Tan Sri Mokhzani Mahathir

KUALA LUMPUR – Seorang lagi anak Tun Dr Mahathir Mohamad diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Tan Sri Mohkzani Mahathir, dilapor hadir ke agensi penguatkuasaan undang-undang itu pukul 11 pagi tadi dipercayai berkaitan notis pengisytiharan harta.

Perkara itu disahkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menjadikan beliau orang ketiga disiasat dalam keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Difahamkan, Mokhzani disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Azam yang mengesahkan perkara itu berkata, beberapa pihak akan menerima notis pengisytiharan mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM, dalam tempoh terdekat ini.

“Ya akan ada mereka yang menerima notis itu,” katanya dipetik BH Online.

Pada 18 Januari lalu, SPRM dilapor mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Selasa lalu, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta.

Toh Puan Na’imah Khalid didakwa, memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

SPRM juga mengesahkan sudah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast