Razlam (tengah) menunjukkan ganja bernilai hampir setengah juta yang dirampas dalam dua serbuan termasuk di perkuburan Cina Mount Erskine, Pulau Tikus.

GEORGE TOWN – Tapak kubur Cina berusia 93 tahun yang dijadikan tempat simpanan ganja bernilai hampir setengah juta ringgit terbongkar.

Ia selepas polis menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus di sini pada Rabu lalu.

Serbuan pertama pukul 4 petang yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 50 tahun serta rampasan ganja seberat 7.82 gram (g) bernilai RM78.

Razlam (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun kira-kira 300 meter dari tangkapan suspek pertama.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek kedua membawa kepada penemuan tujuh plastik lutsinar berisi syabu seberat 16.21 g dengan anggaran nilai RM3,240 serta lebih dua kilogram (kg) ganja bernilai RM6,330.

“Berpandukan maklumat daripada suspek kedua, kita menyerbu sebuah pondok dalam hutan perkampungan Hong Seng Estate yang dijadikan tempat simpanan ganja.

“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan dua guni berisi ketulan mampat ganja hampir 50 kg bernilai RM154,869,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Razlam menunjukkan ganja dibungkus dengan balutan emas yang disembunyikan dalam lubang kubur Cina di Mount Erskine di sini.

Tambah Razlam, hasil soal siasat ke suspek pertama pada keesokan hari pula membongkarkan taktik sindiket yang menjadikan tanah perkuburan Cina di Mount Erskine di sini, sebagai lokasi simpanan ganja.

Kata beliau, pemeriksaan di salah satu tapak kubur di tanah perkuburan tersebut menemui 100 ketulan mampat ganja seberat 10.2 kg yang dianggarkan bernilai RM331,272.

“Kubur lama itu terletak agak jauh dari kawasan perkuburan baru dan kita dapati kesemua ganja disembunyikan dalam lubang sedalam 0.6 meter  serta ditutup dengan zink bagi elak dikesan pihak berkuasa.

“Kesemua ganja yang dirampas untuk pasaran Pulau Pinang dan kedua-dua suspek yang merupakan penganggur itu dikatakan aktif dalam kegiatan pengedaran sejak Disember lalu.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah ini diperoleh serta hubungan antara dua suspek tersebut.

“Selain itu, semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Secara keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM496,656. – MalaysiaGazette