Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri program Malam 1000 Kenangan di Istana Negara, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Istana Negara yang berkhidmat dengan cemerlang sepanjang lima tahun tempoh.

Ucapan itu dizahirkan ketika baginda berdua berangkat ke program Malam 1000 Kenangan di Istana Negara, Jumaat lalu.

Baginda berdua turut berkongsi pengalaman manis lima tahun bersemayam di Istana Negara dan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Malam 1000 Kenangan yang dianjurkan warga Istana Negara di bawah kelolaan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini adalah sebagai hadiah istimewa khas buat baginda berdua sempena tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

Program itu menyaksikan para pegawai dan kakitangan Istana Negara mempersembah bakat terpendam masing-masing menerusi pelbagai persembahan sketsa, nyanyian dan tarian.

Ia cukup istimewa buat warga Istana Negara apabila baginda berdua berkenan mendendangkan empat buah lagu.

Di penghujung program, Seri Paduka Baginda berdua dipersembahkan dengan tayangan video khas dan persembahan “flash mob” oleh seluruh warga Istana Negara diikuti dengan nyanyian lagu patriotik Setia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast