KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah mengatur gerak segala persiapan bagi melancarkan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, persiapan yang siap diatur gerak berkenaan termasuk kawalan keselamatan dan kawalan lalu lintas.

Beliau berkata, pengiring-pengiring polis juga telah bersiap sedia melaksanakan tugas di jalan-jalan yang dikenal pasti akan digunakan atau dilalui semasa keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah.

“Kami mengambil maklum dan bersedia (penugasan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong) serta menempatkan keanggotaan yang mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Bernama difahamkan, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid akan mengeluarkan satu kenyataan media esok berhubung penutupan jalan raya yang terlibat istiadat berkenaan pada Selasa ini.

Seri Paduka akan menamatkan pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan.

Al-Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan tahun yang sama. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast