KUALA LUMPUR – Ikon fesyen, bekas peguam dan penasihat perhubungan awam, Jiman Casablancas disahkan meninggal dunia semalam akibat kegagalan jantung dan darah beku.

Berita duka tersebut dikongsikan sahabat arwah yang juga pelakon, Nabila Huda menerusi Instagramnya semalam.

“Dukacita dimaklumkan kita kehilangan seorang sahabat, abang dan kesayangan Mohd Nizam Khamis atau lebih dikenali sebagai Jiman Casablancas. Didoakan agar Allah SWT mengasihani dan mengampunkan arwah dan menempatkannya di tempat terbaik di syurga.

“Semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada ahli keluarga yang kehilangan Jiman,” tulis pelakon itu.

Jiman sebelum ini juga dikenali sebagai penulis dan pengarah kreatif serta pegawai komunikasi jenama pakaian Tarik Jeans.

Selain Nabila, arwah juga sering menjadi penasihat fesyen atau penata gaya kepada Datuk Amy Search.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekitar pukul 10 pagi hari ini. – MalaysiaGazette